Friday, May 8, 2009

Menelusuri sejarah kepimpinan Pemuda


Menjelang 11 Mei 2009 genap usia parti keramat UMNO ini 63 tahun . Dalam sejarah dunia UMNO adalah parti siasah yang terlama menjadi parti teras menerajui pentadbiran sesebuah negara.

Namun bila usia menginjak setengah abad, sudah mula kelihatan titik-titik retak yang sekiranya tidak disimen,titik retak ini akan terbelah, maka akan meruntuhkan parti keramat ini.

Tidak boleh tidak, survival UMNO perlu digalas oleh kepimpinan orang muda dalam parti. Sempena ulang tahun ke 63 ini marilah kita sama-sama menelusuri sejarah bagi mengenal kepimpinan pemuda ini sejak kelahiran Pergerakan ini hingga sekarang…..

Berdasarkan fakta sejarah usia Pergerakan Pemuda UMNO baru menginjak 60 tahun kerana Pergerakan Pemuda lahir selepas 3 tahun kelahiran UMNO dan semasa penubuhannya ia di kenal dengan nama Perikatan Pemuda.

Gagasan mengadakan Perikatan Pemuda telah timbul dalam Mesyuarat Agung UMNO ke -5 pada 2 Mac 1947 bertempat di Kelab Melayu Negeri Sembilan (dahulu dikenali sebagai Negeri Sembilan Club, Seremban) di mana satu Jabatan (Biro) dalam UMNO ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal pemuda dalam UMNO. Jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Pemuda dan di ketuai oleh Kapten Hussein Onn ( Allahyarham Tun Hussein Onn)

Pada 26 Ogos 1949, akhirnya dalam satu Persidangan di Seberang Perai ,Pulau Pinang yang dihadiri oleh wakil Jabatan Pemuda UMNO dari semua bahagian di Tanah Melayu ,sebuah badan telah ditubuhkan dengan nama Perikatan Pemuda UMNO dan undang-undang dan peraturan mesyuaratnya sendiri telah diluluskan.Perikatan Pemuda ini diketuai oleh Kapten Hussein Onn . ( Allahyarham Tun Hussein Onn)

Berikut disenaraikan pemimpin –pemimpin Pergerakan Pemuda sejak 1949 hingga sekarang;

1. Kapten Tun Hussein Onn (Allahyarham Tun Hussein Onn – Perdana Menteri Malaysia ke 3) dari 1949 hingga 1950.

2. Abdul Razak bin Dato’ Hussain ( Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’Hussain – Perdana Menteri Malaysia ke 2) dari 1950 hingga 1951.

Fakta sejarah yang menarik mengenai perlantikan Tun Abdul Razak sebagai Ketua Pemuda adalah di buat secara kebetulan sewaktu beliau meghadiri Persidangan Perikatan Pemuda yang berlangsung di Kuala Lumpur. Beliau sewaktu itu bukanlah seorang perwakilan ke Persidangan tetapi hadir hanya untuk megisikan masa terluang ketika berada di Kuala Lumpur atas urusan peribadi.

3. Sardon bin Jubir (Allahyarham Tun Sardon Jubir) dari 1951 hingga 1964

Fakta sejarah menarik adalah ketika beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda , beliau meminta ahli pemuda memberi Sumpah Taat Setia mereka pada beliau. Ini tidak pernah dilakukan oleh Ketua Pemuda-Ketua Pemuda sebelum beliau. Dibawah kepimpinan beliau nama Perikatan Pemuda UMNO ditukarkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO.Beliau memimpin Pergerakan Pemuda menempuh era genting menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

4. Senu Abdul Rahman (Allahyarham Dato’ Senu Abdul Rahman) dari 1964 hingga 1969

Fakta sejarah yang menarik bahawa Dato’ Senu telah menubuhkan pasukan Pemuda Tahan Lasak yang mensasarkan 100 orang pemuda Tahan Lasak di setiap bahagian UMNO. Pasukan ini ditubuhkan untuk UMNO mempunyai tapak yang kuat disetiap pelusuk tanahair dan bertindak menghadapi sebarang kemungkinan berlaku pada negara atau UMNO. Silang rujuk ketika itu isu Malaysian Malaysia tajaan Lee Kuan Yew dan tuntutan samarata hangat diperdebatkan sehingga membawa kepada pemisahan Singapura dari Malaysia. Rentetan dari penubuhan pasukan Pemuda Tahan Lasak sebuah syarikat Pemuda ditubuhkan untuk membiayai aktiviti Pergerakan Pemuda. Syarikat ini dikenali dengan nama Talasco (Tahan Lasak Company) Sdn Bhd. Dato Senu’ juga kemudiannya semasa beliau menjawat jawatan Setiausaha UMNO menerbitkan sebuah buku dengan tajuk “Revolusi Mental” yang releven dibaca oleh semua orang Melayu hingga kini.

5. Allahyarham Datuk Ali Haji Ahmad (memangku jawatan Ketua Pemuda) dari 1969-1971

6. Allahyarham Dato’ Harun bin Idris, dari 1971 hingga Mac 1976 (di pecat dari UMNO)

Fakta sejarah yang menarik ketika kepimpinan beliau adalah keupayaan beliau membentuk Pergerakan Pemuda sebagai “ Pressure Group” kepada UMNO sehingga dilabelkan sebagai “parti dalam parti”. Antara individu yang bertanggungjawab membawa dan menyakinkan Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ketika itu untuk menerima Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir) semula setelah TDM dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman. Berjaya membawa imej pemuda sebagai Pergerakan yang kuat sehingga dapat mempengaruhi banyak keputusan Kerajaan ketika itu khususnya dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Membawa perlawanan tinju antara Muhammad Alid an Joe Bugner ke Kuala Lumpur. Namun akhirnya beliau di dakwa dan didapati bersalah dalam menyelewengkan wang Bank Rakyat dan atas kesalahan rasuah. Dipecat oleh Tun Hussein Onn dari UMNO kerana kedegilan beliau mempertahankan pendiriannya. Diterima semula masuk UMNO pada Oktober 1976


7. Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar, dari 1976 hingga 1977 (meninggal dunia)

Fakta sejarah menarik tentang Tan Sri Jaafar Albar adalah beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda pada umur 62 tahun menewaskan pencabarnya Mohamed Rahmat (Tan Sri) . Di beri nama jolokan “Singa UMNO” kerana ketegasan beliau. Beliau terpaksa mengimbangi dan membentuk ahli pemuda yang berdarah panas (the pressure group) ke arah yang lebih rasional .Pemuda dibawah beliau digelar “The Ginger Group”(Kumpulan Halia) mengibaratkan seperti halia “walaupun sedap tetapi pedas”.

8. Datuk Hj Suhaimi Kamaruddin, dari 1977 hingga 1982 (memangku 1977-1978)

Hanya meneruskan dasar Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar. Menubuhkan Gerakan Belia 4B sebagai sayap sosialisasi dan ekonomi Pemuda UMNO yang bukan badan politik.

9. Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim ** , dari 1982 hingga 1987

10. Datuk Seri Najib bin Tun Razak **, dari 1987 hingga 1993. (memangku 1987)(Perdana Menteri Malaysia ke 6)

11. Datuk Rahim Tamby Chik , dari 1993 hingga 1994,sambung kembali Januari1996 hingga Oktober 1996. (Jawatan beliau di pangku oleh Datuk Seri Nazri Aziz dari 1994 hingga Januari 1996,kerana siasatan kes jenayah ke atas Datuk Rahim Tamby Chik)

12. Datuk Ahmad Zahid Hamidi **, dari 1996 hingga 1998 (meletak jawatan, dipangku oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sehingga tahun 2000)

13. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein , dari 2000 hingga 2009.

14. YB Khairy Jamaluddin, sejak bulan Mac 2009

Dalam 60 tahun kewujudannya Pergerakan Pemuda UMNO telah dikepalai oleh 13 orang pemimpin dan kini baton kepimpinan Pemuda di serahkan kepada YB Khairy. Adalah diharap Ulangtahun Kelahiran UMNO disambut dengan penuh keinsafan terhadap perit getir yang dilalui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Dengan sedikit cebisan sejarah ini marilah kita menyusun azam agar Pergerakan Pemuda terus memperjuangkan Melayu dan demi survival Bangsa Melayu itu sendiri. Selagi ini berlaku, UMNO akan terus releven dan akan terus utuh sepanjang zaman. Al Fatihah ke atas roh pemimpin Pemuda yang telah pergi meninggalkan kita semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

** Tunggu posting akan datang

3 comments:

Anonymous said...

Pemuda Seremban ni Pressure group ke, Ginger group ke Talasco ?

Anonymous said...

bukan apa cari untuk perut sendiri saja kp bahagian

Nanalichi said...

Fakta tentang diri ALLAYARHAM TUN ABDUL RAZAK DATO'HUSSEIN ADA? KALAU ADA LAH