Sunday, May 24, 2009

Rang Pindaan Perlembagaan UMNO


Suatu Jawatankuasa Teknikal telah dibentuk menyediakan suatu rang pindaan Perlembagaan UMNO. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Dato' Seri Hishamuddin bahawa dia akan turut menimbangkan sebarang cadangan dari bahagian-bahagian tentang pindaan yang akan dilakukan.

Pindaan Perlembagaan UMNO ini dicadangkan ekoran dari sistem kuota dan gejala politik wang yang menular dalam cara memilih pemimpin yang ada dalam Perlembagaan UMNO sekarang.

Memetik kata ucapan Dato Sri Najib:

" ....kita mesti mengubah cara UMNO menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini,sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi seluruh negara. Pada hemat saya telah tiba masanya untuk mengkaji semula Perlembagaan UMNO dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat. Inilah jalan yang akan dapat masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi..."

Hasrat meminda Perlembagaan untuk mengkaji perkara ini amatlah dialukan,namun untuk menambah atau menggantikan peruntukan bagi mencerminkan hasrat Presiden ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

Contoh, untuk jawatan Presiden UMNO dalam Perlembagaan yang ada sekarang perlu 30% pencalonan dari bahagian-bahagian (191 bahagian). Sekiranya peratusan ini dihapuskan bermakna 1 pencalonan sudah cukup melayakkan mana-mana ahli untuk bertanding jawatan Presiden. Ini bermakna pintu akan terbuka kepada mana-mana individu untuk bertanding jawatan Presiden walaupun dia mungkin tidak ada kredential untuk menjawat jawatan tersebut. Ramai akan berebut untuk jawatan tersebut sehingga menjadikan pemilihan untuk jawatan tertinggi parti seolah-olah pesta joget lambak. Bayangkanlah 191 bahagian dan 191 calon Presiden dan bayangkanlah jika jawatan individu yang mahu bertanding tersebut hanya ketua di cawangan.Kalau ini berlaku alamatnya Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan 7 hari 7 malam.

Jikalau sistem pencalonan dari bahagian-bahagian ini hendak dimansuhkan, apakah cara lain yang sesuai untuk mencalonkan calon ke jawatan tersebut. Adakah akan diberi kepada cawangan-cawangan? Contohnya Seremban ada 65 cawangan. Mungkin ada 65 pencalonan(sekiranya setiap pencalonan dari cawangan-cawangan ini berbeza dari satu sama lain) Terdengar maklumat di Sabah, ada bahagian yang mempunyai 400 cawangan. Haru jadinya!

Apakah mekanisme yang sesuai untuk memperbaharui sistem yang ada?Semak juga otak untuk memikirkannya. Bukan mudah!

Oleh itu peranan Jawatankuasa ini perlu mengemukakan cadangan-cadangan pindaan serta mekanisme pembaharuan dalam bentuk Rang Pindaan Perlembagaan dan barulah dihantar ke bahagian-bahagian.

Kata Dato' Seri Hishamuddin pendapat bahagian-bahagian akan diambil tentang pindaan Perlembagaan adalah murni. Ini membolehkan suara akar umbi diambilkira dalam pindaan Perlembagaan. Namun kalau tidak diberikan suatu garis panduan yang jelas tentang perkara yang perlu dipinda atau mekanisme pembaharuan, akan membuat bahagian-bahagian meneka dalam kesamaran dan akhirnya wujud berbagai usul dan memorandum dari bahagian-bahagian yang kebanyakannya tidak releven dan terkeluar tajuk.

Oleh itu seharusnya, Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan menyediakan suatu rang pindaan Perlembagaan dan rang ini di hantar ke bahagian-bahagian sambil memberikan garis panduan perkara apa yang perlu dibahaskan. Dengan ini perbahasan pindaan akan lebih terarah dan fokus. Pihak perwakilan cawangan di bahagian sewaktu Persidangan Bahagian akan lebih maklum tentang apa yang mereka perlu bahaskan dan membuat keputusan sama ada menerima sebulat suara atau menerima dengan pindaan atau menolaknya.

Hanya dengan itu,proses mendapatkan suara akar umbi dapat diuruskan dengan licin.Diharap pihak pucuk pimpinan UMNO dapat menimbangkan perkara ini. Masa Tan Sri Muhydin dahulu buat pindaan Perlembagaan UMNO , suara akar umbi tidak diminta. Oleh itu, kali ini buatlah pembaharuan!


0 comments: