Wednesday, December 30, 2009

Utusan Perjuangan!

Utusan Perjuangan

Maklumat telah diterima bahawa esok , 31-12-2009 pada jam 10.00 pagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan akan mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma UMNO Negeri, Negeri Sembilan. Maklumat diterima kononnya AMK mahu membuat protes dan demonstrasi kepada Pengerusi Perhubungan Negeri atas dakwaan isu pindahan wang melalui Penggurup Wang keluar negeri.

Dakwaan ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan mereka. Tiada siasatan pun di buat oleh pihak berwajib. Nampaknya AMK sengaja mahu menggembar gemburkan cerita rekaan mereka ini. Prinsip mereka" benda yang tak betulpun ,kalau diulang-ulangkan serta sering ditonjolkan akan kelihatan seperti betul". Ini adalah matlamat mereka

Kepada semua ahli pemuda UMNO di Seremban dan di mana sahaja "Ayuh, mari kita bangun dan pertahankan kepimpinan kita" Mari semua hadir ke Wisma UMNO esok! Kita buat benteng yang teguh dari semua cabaran yang mahu menggugat kepimpinan kita!

Monday, December 21, 2009

Dah tu Ketua Whip, buat kerja apa?

Dalam keadaan BN tak pegang majoriti 2/3 di Parlimen nampaknya ada ahli Parlimen BN lupa dan alpa tentang keadaan itu. Nasib baik undi belah bahagi bagi Rang Undang Pembekalan : Bajet 2010 menyebelahi BN walaupun hanya dengan 3 undi. Kalau tak tersungkur Bajet 2010 dan segala peruntukan yang dirancang di bawah Bajet itu tidak dapat dikeluarkan kerana ketiadaan kelulusan oleh Parlimen.

Nampaknya Ahli Parlimen BN ini perlu di"sebat" kerana ini bukan kali kedua Rang Undang Pembekalan diluluskan dengan majoriti tipis. Dah kali kedua dah!

Jangan terperanjat! Sebat yang dimaksudkan disini bukan hukuman sebat! Tapi sistem yang dipakai dalam menjaga dan mengatur kehadiran dan prestasi ahli-ahli Parlimen BN/Parti Pemerintah. Whip system atau dalam bahasa Melayunya sistem sebat adalah suatu sistem yang diambilpakai dari sistem Parlimen British. Sistem ini diambilpakai untuk memastikan kesatuan keseragaman Ahli Parlimen Pemerintah dalam kehadiran ,hujah dan bahas dalam Justify FullParlimen. Konsepnya mudah. Seorang ketua memegang tali sebat yang lain menurut. Kalau tak ikut, kena "sebat"!

Untuk Kerajaan BN siapa dia Whip Master atau Ketua Whip? Lazimnya tugas ini diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri. Masa Pak Lah jadi PM , DS Najib jadi Ketua Whip. Masa DS Najib jadi PM yang jadi Ketua Whip adalah TS Muhydin Yassin dan bukannya DS Nazri walaupun dia menteri yang jaga Parlimen. Kalau jamban kat Parlimen tu rosak bolehlah tanya DS Nazri kot!


Sekarang ni apa yang Ketua Whip buat? Dia sendiri lewat menghadiri sidang bagi mengundi Bajet 2010. Ini bukan sekali , dah 2 kali berlaku. Kepada YAB Ketua WHIP " Ini bukan cobaan tau, ini betul2"

KERISMUDA faham mungkin ahli Parlimen berjawatan Menteri atau Timbalan Menteri sibuk bertugas contohnya Ahmad Shabeery Cheek ada di Vientienne Laos bagi menjalankan tugas rasmi tapi ahli Parlimen yang tak berfotfolio Menteri atau Timbalan Menteri pergi kemana? Leko nak nikah artis gobu ajo ko?

Ahli Parlimen BN perlulah menunjukkan kualiti sebagai Ahli Parlimen sebenar (the true Parliamentarian quality) Whip Master atau Ketua Whip juga perlu buat kerja bagi memastikan semua ahli Parlimen BN yang dipilih oleh rakyat mempamerkan etika dan kualiti yang professional dalam menjalankan tugas mereka. Kalau perlu sebat, sebat! Jalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat!

Friday, December 11, 2009

TAHNIAH MALAYSIA!

Tahniah kepada Pasukan Bolasepak Malaysia yang menewaskan Thailand dengan jaringan 2-1 dalam aksi Bolasepak Sukan Sea Laos 2009.Dengan kemenangan ini Malaysia layak ke peringkat separuh akhir bersama Vietnam.Kami mendoakan Pasukan Malaysia berjaya mencapai sasaran.Amin!

Thursday, December 10, 2009

Perlukah nada ini dimainkan semula? PARTI MENGUASAI KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN MENGUASAI PARTI.

Sebenarnya nada ini sering dimainkan dan menjadi polemik dalam UMNO. Dahulu semasa Dato Syed Jaafar Albar menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia ,beliau pernah mengutarakan isu ini dalam Perhimpunan Agong UMNO memandangkan Kerajaan pada masa itu seperti seolah-olah tidak menghiraukan pandangan dan kepentingan yang dibawa oleh UMNO.

Beberapa tahun dahulu semasa Khairi Jamaluddin masih menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia isu yang serupa dibangkitkan. Perspektif ini dibawa lebih menjurus kepada pegawai-pegawai tinggi Kerajaan di Kementerian yang sering tidak menghiraukan tentang permintaaan atau permohonan yang datangnya dari pemimpin UMNO khususnya pemimpin muda. Pegawai-pegawai atasan ini seolah-olah amat berkuasa dan seolah-olah tampil selaku "Little Napoleon" dalam Kementerian tertentu. Surat rekomendasi menteri malah surat dari Pak Lah yang menyokong permohonan tersebut pun diketepikan oleh mereka.

Dalam senyap "Little Napoleon"ini mengembangkan pengaruhnya. Pemberian projek-projek Kerajaan mereka yang tentukan.Mereka yang tentukan kontraktor,mereka yang tentukan Projek Management Consultant (PMC) dan sebagainya. Dokumen semua lengkap agar jangan dipersoalkan kelak. Mereka juga tetapkan berapa komisyen yang akan mereka terima. Namun apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik, mereka dengan mudah mengatakan salah kontraktor dan sebagainya.

Apakah yang berlaku di Stadium Terengganu dan yang berlaku jambatan di Perak ini secara totalnya hanya salah kontraktor? Bukankah agensi Kerajaan yang terbabit serta PMC yang dilantik oleh pegawai atasan Kerajaan juga bertanggungjawab menyelidiki dan yang memberi kelulusan sebelum apa-apa pembayaran dilaksanakan. Kenapa mereka yang bertanggungjawab memberi kelulusan ini tidak dipertanggungjawabkan?Apakah ini angkara Little Napoleon ini atau kuncu serta kroni mereka?

Pihak pembangkang mudah memainkan isu bagi menempelak Kerajaan BN dan UMNO dan memainkan isu rasuah apabila kejadian-kejadian sebegini berlaku. Sebenarnya inilah permainan yang dimainkan oleh pegawai atasan Kerajaan (the Little Napoleon dan kroninya). Yang mendapat bahang tempelak pembangkang ini adalah Perdana Menteri dan UMNO. Apabila ini berlaku ,Little Napoleon ini hanya perlu mendiamkan diri dan buat kajian demi kajian bagi menggambarkan kesalahan dlakukan oleh orang lain.

Tidak dinafikan bukan semua pegawai atasan bersikap begini tetapi janganlah nafikan pula kewujudan Little Napoleon ini.Mereka ini wujud. Persoalannya mengapa dosa yang mereka lakukan UMNO yang kena bahangnya?

Di Seremban isu pembinaan Pusat/Kompleks KEMAS di Pantai, Seremban timbul dan menjadi tandatanya. Projek ini dilaksanakan dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Pimpinan utama kerajaan negeri telah berusaha keras dan berjaya mendapatkan peruntukan dengan kerjasama pihak kementerian untuk pembinaannya dimaklumkan bernilai RM 3.5 juta. Memandangkan Projek ini dibuat di Seremban, difahamkan ada kontraktor bumiputera tempatan dari Seremban yang telah memohon masuk membida bagi perlaksanaan bagi projek secara reka dan bina ini. Kontraktor ini berwibawa dan mereka telah membida untuk projek ini dibawah jumlah peruntukan ini. Atas kepercayaan keupayaan serta kewibawaan kontraktor ini rekomendasi juga diberikan oleh pemimpin negeri,pimpinan parti khususnya wakil rakyat kawasan agar kontraktor ini diberi keutaamaan dan pertimbangan. Dengar khabarnya juga Dato Seri Mohd Shafie Afdal selaku Menteri KKLW juga memberi rekomendasi agar kontraktor ini untuk dipertimbangkan. Tetapi apabila mesyuarat teknikal dan pemilihan berlangsung dikhabarkan semua surat rekomendasi pemimpin negeri dan Menteri ini di "tong sampah"kan oleh pegawai-pegawai atasan yang terlibat dibawah Kementerian ini. Kontraktor yang dibantu pimpin oleh "little napolean pantai timur" di kementerian yang membida sebanyak RM 6 juta lebih khabarnya pula yang dicadangkan untuk melaksanakan projek ini!

Banyak persoalan timbul,apakah nilai surat rekomendasi dari pemimpin negeri dan Menteri yang datangnya dari UMNO? Wajarkah di "tong sampah"kan? Perlukah nada Parti menguasai Kerajaan ini di mainkan? Untuk apa konraktor yang membida nilai Projek sebanyak RM 6 juta lebih ini dipertimbangkan sedangkan ini melibatkan pertambahan kos sebanyak hampir RM 3 juta? Hampir 2 kali ganda? Adakah pertambahan ini termasuk komisyen untuk "Little Napoleon" ini?

Harap Dato Seri Mohd Shafie Afdal dapat melihat perkara ini secara serius. Dato Seri Shafie dapat jawatan Menteri atas tiket sebagai Naib Presiden UMNO. Perwakilan UMNO akar umbi yang letakkan Dato' Seri di tempat sekarang ini. Ingat setiap undi yang diberi adalah bagi manifestasi kontrak sosial dengan perwakilan bahawa Dato' Seri harus mementingkan kepentingan UMNO dan orang Melayu. Bukannya kepentingan pegawai Kerajaan "Little Napoleon"ini.

Tak perlu lagi dimainkan nada PARTI MENGUASAI KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN MENGUASAI PARTI.Sepatutnya sekarang ini Dato Seri lebih maklum dan patut memahami hakikatnya....dan kami tetap akan menyokong teguh kepimpinan Dato Seri selagi mengutamakan kepentingaan,kebajikan serta kepentingan parti melebihi Little Napolean yang bermaharajalela selama ini.

Tuesday, December 8, 2009

KALAU MASIH CETEK ILMU ...JANGAN BERCAKAP!


Dalam akhbar The Star hari ini,keluar lagi berita mengenai Datuk Seri Nazri Aziz dan gesaan beliau agar modul kursus Biro Tatanegara di rombak atas alasan fanatik kemelayuan. Kali ini beliau menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai "racist"(perkauman) kerana mempertahankan modul kursus yang sedia ada. Tun Dr Mahathir mengatakan tiada ada masalah dengan modul kursus BTN kerana ia menerapkan nilai-nilai murni serta menyemarakkan rasa cinta kepada tanahair. Juga tidak ada salahnya untuk menyatakan tentang fakta sejarah tentang Tanah Melayu yang akhirnya kini dikenali sebagai Malaysia.

Namun pandangan Tun ini tidak diterima oleh Datuk Seri Nazri kerana menurut Datuk Seri Nazri ramai yang mengikuti kursus BTN menjadi marah dan ramai yang menganggap penggunaan istilah " Ketuanan Melayu" semasa kursus adalah tindakan yang tidak masuk akal (ridiculous)

Rupa-rupanya Datuk Seri Nazri sendiri tidak faham dengan erti dan makna istilah "Ketuanan Melayu". Ketidakfahaman Datuk Seri Nazri ini dengan sendirinya meletakkan beliau sebaris dengan Ahli Parlimen pembangkang seperti M. Kulasegaran (Ipoh Barat) dan ahli Parlimen pembangkang yang lain yang cepat melenting apabila istilah "Ketuanan Melayu" disebut. Amat memeranjatkan serta menyedihkan kerana Datuk Seri Nazri bukan orang baru dalam kabinet atau Parlimen tapi ketidakfahaman beliau ini boleh menyebabkan kewibaan beliau sendiri sebagai Menteri "senior" dipertikaikan.

Jika ada yang memikirkan bahawa istilah "Ketuanan Melayu" ini membawa maksud orang Melayu adalah bangsa "tuan" di negara ini maka samalah mereka dengan Datuk Seri Nazri.

Ketuanan Melayu tidak sesekali membawa maksud "Supremacy of Malay race above the others". Ianya sama sekali bercanggah dengan maksud sedemikian. Adolf Hitler pernah membawa ideology "Supremacy of the Aryan race" yang mengatakan bahawa Bangsa Aryan adalah bangsa yang hebat dari bangsa-bangsa lain di dunia ini. Ketuanan Melayu bukan sekali-kali bermaksud sedemikian.

Ketuanan Melayu yang sebenarnya hendaklah dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan.Perkara 32 (1) Perlembaaan Persekutuan menyatakan bahawa "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang Di Pertuan Agong,yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan...."

Perkara 70 (1) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan "Tertakluk kepada keutamaan Yang DiPertuan Agong dan Permaisurinya, Raja dan Yang DiPertua Negeri adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dan seorang Raja atau Yang DiPertua Negeri adalah,dalam negerinya sendiri,mengambil keutamaan mengatasi Raja dan Yang DiPertua Negeri yang lain.

Jadual 3 Bahagian 1 (1) menyatakan "seseorang Raja adalah layak dipilih menjadi Yang DiPertuan Agong...."

Dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan di atas Yang DiPertuan Agong adalah tuan (atau Kepala Utama) yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Sesungguhnya tuan dan Kepala Utama ini semestinya MELAYU.

Selaku Yang DiPertuan Agong atau Raja yang memerintah (yang semestinya MELAYU) Yang DiPertuan Agong diberikuasa dan peranan dalam Perlembagaan seperti Ketua Agama Islam bagi Persekutuan (Perkara 3(2)), Kuasa Pemerintah Persekutuan (Perkara 39) dan Pemerintah Tertinggi tentera (Perkara 41). Begitu juga peranan peranan lain termasuk menjaga keistimewaan orang Melayu (Perkara 153) bersama Majlis Raja-Raja.Perlembagaan juga memberikuasa mutlak kepada Majlis Raja-Raja untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan -sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan,kedudukan,kemulian atau kebesaran Raja-Raja (Perkara 38 (6)).Menurut Perlembagaan kedudukan Raja-Raja dan Yang DiPertuan Agong (yang semestinya MELAYU) sebagai kepala utama negeri dan kepala utama Malaysia tidak akan tergugat.

Sesungguhnya itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah "Ketuanan Melayu"yang mana berakar umbi dalam Perlembagaan. Sudah semestinya Ketuanan Melayu ini mempunyai susur galur riwayat sejarah bermula dari Empayar Kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman sekarang.

Salahkah pihak Biro Tatanegara menyampaikan kepada peserta tentang fakta sejarah dan konsep istilah "Ketuanan Melayu" seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan? Bukankah konsep 1 Malaysia ini juga meminta semua rakyat menerima dengan ikhlas dan menghormati Perlembagaan Negara yang ada sekarang?Sekiranya modul kursus BTN yang ada sekarang menyampaikan konsep kenegaraan dari perspektif Perlembagaan MAKA untuk apa ia perlu dirombak?

Dalam hal ini, tidak perlu semua Menteri nak bercakap macam zaman Pak Lah dulu. Cukuplah Tan Sri Muhydin selaku Timbalan Perdana Menteri dan YB Dato' Ahmad Maslan (yang ditugaskan untuk menyelia BTN) yang bercakap. Nanti salah cakap ,nampak sangat cetek ilmu! Sudahlah cetek ilmu tapi yang sedihnya dengan percuma beri modal kepada pembangkang nak hentam Kerajaan!Kepada Pak Menteri-Pak Menteri yang suka bercakap pastikan baca dulu Perlembagaan atau sertai dulu kursus BTN. Jangan cakap semberono sahaja!

Sunday, December 6, 2009

TAK PERLU PINDA PERLEMBAGAAN NAK KETEPIKAN ORANG MELAYU...

Setelah keluarnya posting sebelum ini yang bertajuk " Penguasaan secara senyap? Teori The Chinese Belt .." ada yang bertanya seraya mengemukakan hujah meragui Pulau Pinang boleh menjadi seperti Singapura. Secara ringkasnya mereka mengatakan seperti berikut:-

Pulau Pinang adalah sebahagian dari Malaysia dan menurut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia keistimewaan untuk orang Melayu harus diberikan. Kerajaan Pulau Pinang mesti memberikan keistimewaan kepada orang Melayu yang mana jika tidak, Kerajaan Pulau Pinang melanggar Perlembagaan.

Bagi KERISMUDA ia adalah suatu hujah dan pandangan yang baik.Namun KERISMUDA mempunyai pandangan yang berbeza. Memang betul Perlembagaan menyatakan sedemikian namun mesti ada kemahuan politik dan kuasa (political will and force) untuk menurutinya. Sekiranya kuasa yang memerintah tidak mahu menurutinya keadaan akan berubah walaupun secara prinsipnya akan bertentangan dengan semangat serta apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

KERISMUDA mahu menyokong hujah melalui rujukan kepada Singapura kerana dalam posting yang lalu KERISMUDA ada menyebutkan " Pertalian antara Singapura dengan Pulau Pinang juga bertambah erat. Baru-baru ini Lee Kuan Yew melawat Pulau Pinang dan Lee Guan Eng juga sering melawat Singapura. Pendekatan yang diambil oleh beliau mirip dengan apa yang berlaku di Republik tersebut..'

Singapura keluar dari Gagasan Malaysia pada 9-8-1965. Melalui Akta No. 9 1965 atau dikenali Akta Kemerdekaan Republik Singapura tercatat seperti berikut:-


REPUBLIC OF SINGAPORE INDEPENDENCE ACT 1965

Continuance in force of provisions of the Constitution of Malaysia and exercise of powers thereunder.

6. —(1) The provisions of the Constitution of Malaysia, other than those set out in subsection (3), shall continue in force in Singapore subject to such modifications, adaptations and qualifications and exceptions as may be necessary to bring them into conformity with the independent status of Singapore upon separation from Malaysia.


(2) The provisions of the Constitution of Malaysia referred to in subsection (1) may in their application to Singapore be amended by the Legislature.

Melalui Akta ini jelas Perlembagaan Singapura adalah pemakaian Perlembagaan Malaysia tertakluk kepada perubahan dan pindaan yang sewajarnya.

Secara faktanya, dalam Perlembagaan Singapura di bawah Perkara 152 ada menyatakan seperti berikut:-


PART XIII
GENERAL PROVISIONS

Minorities and special position of Malays

152. (1) It shall be the responsibility of the Government constantly to care for the interests of the racial and religious minorities in Singapore.

(2) The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, support, foster and promote their political, educational, religious, economic, social and cultural interests and the Malay language.

Perkara 152 Perlembagaan Republik Singapura ini turut memberi jaminan tentang kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Persoalannya, secara realiti adakah orang Melayu Singapura diberikan keistimewaan seperti yang dikecapi oleh orang Melayu Malaysia?

Cuba kita hayati insiden-insiden yang berlaku di Singapura seperti:-

4 orang pelajar perempuan di buang sekolah kerana berkeras hendak memakai tudung ke sekolah. Alasan pembuangan kerana melanggar peraturan uniform sekolah di Singapura. Tiada pertimbangan pihak Kerajaan tenang kepercayaan pelajar ini kepada agama Islam yang mewajibkan wanita menutup aurah.

Corong suara masjid-masjid mesti di halakan ke dalam Masjid dan tidak boleh diletakkan ke arah luar Masjid. Ini dibuat atas alasan untuk menjaga sensitiviti penganut agama lain dan bagi menjaga suasana keharmonian beragama di Singapura. Oleh itu suara azan tidak lagi berkumandang dan tidak lagi jelas kedengaran di luar Masjid.

Pengambilan tanah Istana Kg Gelam milik keturunan Sultan Hussain (keturunan Diraja Johor) oleh Kerajaan Singapura menyebabkan keturunan beliau diusir dari Istana tersebut dan Istana dijadikan Bangunan Warisan untuk tujuan Pelancongan.

Polisi pembinaan dan pembangunan tempat tinggal: Mesti diperuntukkan Cina 75%, Melayu 13%,India 8% dan lain-lain 4% menyebabkan orang Melayu berpecah-pecah walaupun sebelum ini kawasan yang dibangunkan asalnya adalah diduduki secara majoritinya oleh orang Melayu.

Pencapaian pendidikan orang Melayu dan pencapaian ekonomi orang Melayu yang ketinggalan . Orang Melayu kalah bersaing dalam budaya kiasu yang tercipta di Singapura. Semua ini atas alasan meritokrasi yang diamalkan oleh Kerajaan Singapura.

Kesemuanya ini berlaku kerana polisi pentadbiran oleh Kerajaan Singapura yang dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu WALAUPUN dalam Perlembagaan Singapura menjamin kedudukan istimewa orang Melayu.

Oleh itu tak perlu pinda Perlembagaan pun jika hendak ketepikan orang Melayu serta kepentingan mereka. Cukuplah dengan kuasa memerintah dan dasar meritokrasi.

Bukankah Lim Guan Eng tak lama dahulu berkata "Tolak DEB dan kami akan gantikan dengan Meritokrasi?Bukankah itu mirip dasar yang dilaksanakan di Singapura?

Kepada kawan-kawan yang bertanya, jawab KERISMUDA :Tak perlu langgar Perlembagaan atau pinda Perlembagaan untuk pinggirkan orang Melayu! Cukuplah jika mereka memegang kuasa!

Friday, December 4, 2009

PENGUASAAN SECARA SENYAP? TEORI THE CHINESE BELT...

Biarlah posting kali ini dimulakan dengan mengimbaskan lipatan sejarah iaitu kemelut semasa Allahyarham Dato’ Onn Jaafar menuntut kemerdekaan. Antara tuntutan atau syarat yang dikenakan oleh pihak Brittish adalah tentang pemberian status kewarnegaraan kepada orang bukan Melayu iaitu orang Cina dan India atas prinsip Jus Soli. Kemelut berlaku kerana menurut hujah Allahyarham Dato’ Onn Jaafar akan menjadikan orang Cina sebagai penduduk majoriti di Tanah Melayu.

Mengikut taburan penduduk pada masa itu menunjukkan bahawa orang Cina banyak tertumpu di Negeri-Negeri Selat ( Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) memandangkan negeri-negeri tersebut adalah pusat perdagangan dan juga mereka diterima sebagai rakyat British ( di bawah perlaksanaan undang-undang Brittish Oversea Citizenship) berbanding dengan kaum Cina yang duduk di negeri lain. Selain di Negeri-Negeri Selat , tumpuan pendudukan kaum Cina adalah di bandar-bandar di negeri –negeri pantai barat seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bharu. Allahyarham Dato’ Onn menggelarkan jajaran negeri-negeri tersebut ( Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura sebagai Jajaran Cina atau dalam bahasa Inggerisnya “The Chinese Belt”.

Lebih dari setengah abad kemelut serta kerisauan tersebut berlalu. Tanah Melayu telah menjadi Malaysia. Singapura juga telah keluar dari Gagasan Malaysia. Semasa keluar dari Malaysia, Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pemimpin People Action Party (PAP) telah meninggalkan legasinya iaitu Parti DAP.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 secara tidak langsung menbuka semula lebaran kemelut dan kerisauan yang dihadapi oleh Allahyarham Dato Onn ini. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 melihat kejatuhan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke tangan pembangkang, Manakala negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, BN tidak memegang kuasa majority 2/3 (atau di gelar sebagai negeri-negeri marginal).


Di negeri-negeri pembangkang ini secara "de facto"nya dikuasai oleh orang Cina dari segi politik dan ekonomi. Dari segi ekonomi pemilikan tanah dan bangunan di bandar di kuasai oleh kaum Cina kerana kekuatan ekonomi mereka. Isu masyarakat Melayu Pulau Pinang di singkirkan dari bandar tidak ada kesudahannya. Sama ada sedar atau tidak, orang Melayu kian di tolak sedikit demi sedikit secara halus ke kawasan-kawasan pinggir bandar. Ini ditambah lagi dengan pembelian tanah di Malaysia oleh orang-orang Cina Singapura.




Dari segi politik pula , Pulau Pinang dan Selangor ( dan dahulunya Perak) secara de factonya dikuasai oleh orang Cina. Pulau Pinang telah menolak semangat DEB, Selangor pula dengan projek Khinzir Raksasa dan isu araknya. Dahulu Perak panas dengan isu tanah Kampung Baru Cina yang diberi milik selama 999 tahun. PAS selaku parti pembangkang Melayu seolah-olah tidak bermaya dalam pakatan pembangkang. Di Perak orang Cina menganggap pengambilalihan kuasa pemerintahan oleh BN adalah penggulingan Kerajaan Cina oleh Kerajaan Melayu. Seperti yang pernah disampaikan oleh En Zahir bin Dato Khalid Exco Kerajaan Negeri Perak, masyarakat Cina sukar untuk menyokong BN kerana anggapan mereka BN telah menggulingkan Kerajaan mereka.

DAP telah mengkaji tentang Perlembagaan negeri Perak dan Selangor dan juga beberapa negeri lain yang memperuntukkan kemestian meletakkan orang Melayu ke jawatan Menteri Besar. Mereka mula membuat rancangan awal untuk mengatasi halangan Perlembagaan ini. Mereka membuka cawangan DAP Melayu dan berkira-kira untuk meletakkan calon Melayu bertanding atas tiket DAP. Nik Aziz , Mursyidul Am PAS telah dengan gembira menyokong dan menggalakkan tindakan DAP ini. Walau dengan nama apa pun pakatan sama ada Alternatif atau Pakatan Rakyat ,DAP lah yang akan banyak menguasai di negeri-negeri secara "de facto".




Selain memenangi beberapa negeri dalam PRU ke12, pembangkang juga berkemungkinan memenangi negeri-negeri marginal Melayu yang lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Senario yang paling menakutkan (dooms day scenario) ialah selain kehilangan negeri-negeri marginal di Semenanjung kemungkinan BN juga akan kehilangan Sabah & Sarawak. Ini bermakna, selepas PRU ke -13, Pembangkang akan berkuasa mutlak.

Orang Melayu jelas akan terhimpit kerana Pakatan Rakyat (PR) didominasi oleh bukan Melayu seperti yang berlaku sekarang. PAS tidak boleh diharap untuk membela hak Melayu kerana kedudukan mereka dalam PR lemah.

Satu perkara yang amat perlu disedari bahawa dari kebanyakan negeri yang dikuasai pembangkang, Pulau Pinang merupakan negeri yang paling sukar untuk dirampas kembali. Pentadbiran DAP akan menggunakan apa jua kaedah bagi memastikan penguasaan mereka terus berkekalan.

Pertalian antara Singapura dengan Pulau Pinang juga bertambah erat. Baru-baru ini Lee Kuan Yew melawat Pulau Pinang dan Lee Guan Eng juga sering melawat Singapura. Pendekatan yang diambil olehbeliau mirip dengan apa yang berlakudi Republik tersebut.Hubungan ekonomi dua hala juga bertambah kukuh

Secara tidak langsung, pengaruh Singapura terhadap Pulau Pinang bertambah kuat. Pulau Pinang juga akan lebih yakin dan mempunyai identitinya sendiri. Sekiranya ini berterusan, besar kemungkinan kita akan “kehilangan” Pulau Pinang seperti juga kita kehilangan Singapura dahulu.

Adakah dari perspektif politik The Chinese Belt akan muncul semula?Adakah ini suatu gerakan untuk menguasai Malaysia secara senyap? Adakah orang Melayu sedar akan kemungkinan ini?

Fikir-fikirkanlah!

Wednesday, December 2, 2009

Program di Mantin Dalam,DUN Nilai

Pada 22-11-2009 yang lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Mantin Dalam telah mengadakan Perasmian Penambahbaikan Gelanggang Sukan di Kg Mantin Dalam, Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sdr Shahrul Ekhsan telah turun padang merasmikan Gelanggang Sepak Takraw Kg Mantin Dalam yang telah dibaikpulih bagi membolehkan para belia beriadah dengan sukan sepak takraw. Dengan pembaikpulihan ini para belia boleh dengan selesa untuk beriadah kerana sebelum ini keadaan gelanggang yang sedia ada dalam keadaan menyedihkan. Gelanggang yang telah dibaikpulih ini turut dilengkapi dengan lampu dan ini membolehkan belia beriadah di waktu malam memandang waktu siang masing-masing mungkin sibuk bekerja.

Sdr Mohd Razif Razaly, Ketua Pergerakan UMNO Cawangan Mantin Dalam merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah menyalurkan peruntukan pembaikpulihan tersebut juga kepada Sdr Sharul Ekhsan yang telah banyak membantu dalam mendapatkan peruntukan tersebut.

Sebagai pengisian majlis perasmian ini, Sdr Shahrul Ekhsan dan Sdr Rizal (Ketua Cawangan / Ketua JKKK Kg Mantin Dalam ) secara simbolik merasmikan gelanggang tersebut dengan menanam pokok di persekitaran gelanggang.